banyak gambar aku tak update dlm blog..gambar di Phuket dll..tp biarlah..aku pon sibuk sesangat dgn trip la,dgn assignment USM la, edit gambo kawin la, bermanja dgn kuda liar la, semua mende nk sapu nayaaaa...
tp aku tetap nk Cut n Paste artikel nih,sbb ianya melibatkan idola aku...'Hadirnya satu dalam sejuta'
Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my
Mak Inom, Pak Atan terkenang sikap anak mereka, Yasmin Ahmad yang pulang ke rahmatullah 25 Julai laluMASIH basah dalam kotak ingatannya segala kenangan sepanjang 51 tahun anak kesayangannya dipinjamkan Ilahi. Tidak akan habis helaian andai mahu dicatat satu persatu, namun apa dayanya, Allah lebih menyayangi anak sulung yang dijemput Tuhan untuk berada di sisi-Nya tanggal 25 Julai lalu.
“Dia seorang yang penuh kasih sayang. Hadirnya satu dalam sejuta dan betapa bahagianya seseorang ibu jika semua anak memiliki sikap murni sepertinya,” kata Inom Yom, ibu kepada pengarah berkaliber, Allahyarham Yasmin Ahmad pada pertemuan di kediamannya di Subang Jaya, lewat pagi Sabtu lalu.
Hari yang dilalui kini tidak sama lagi ketika hayat arwah masih ada. Dan Inom yang akrab membahasakan dirinya Mak akan terus merindui permata anugerah Allah yang dilahirkan pada 1 Julai 1958 itu.
“Mak akan merindui panggilan daripadanya yang sentiasa menceriakan kami sekeluarga,” kata Inom dalam nada bicara yang sarat kekuatan.
Kata Inom, 76, lima hari sebelum arwah Yasmin menghembuskan nafas terakhir, mereka sempat menghabiskan masa bersama di Langkawi.
“Ketika di lapangan terbang, mak sedar arwah sering memegang tangan dan memeluk mak sedangkan sebelum ini dia tidak begitu,” imbas Inom detik akhir sebelum arwah koma selepas rebah ketika membentangkan kertas kerja mengenai kempen 1Malaysia di Sri Pentas petang Khamis, 23 Julai lalu.
Yasmin di mata Inom ialah anak yang patuh kepada perintah ibu bapanya, malah sentiasa berpegang kenyataan syurga seorang anak ialah di bawah tapak kaki ibu.
Sering katanya, dia dan suaminya bergurau dengan arwah mengenai siapa paling disayanginya dan arwah pasti memberitahu, “Orang (Yasmin) menyayangi mak setinggi langit ditambah seminggu”.
Sampaikan setiap kali menelefon dan kebetulan bapanya, Ahmad Hashim atau Pak Atan, 77, menjawab panggilan itu, arwah pantas bertanya, “Mak mana?”
Sebelum ke Langkawi, imbas Inom, mereka sekeluarga terlebih dulu meraikan sambutan ulang tahun kelahiran suaminya yang diraikan beberapa hari awal.
“Arwah memberitahu biarlah diraikan awal kerana tidak tahu sama ada dia dapat bersama lagi pada tahun depan. Kebetulan ketika arwah mahu pulang ke Kuala Lumpur bersama suaminya, abah batuk.
“Arwah berjanji akan datang semula pada Jumaat itu, malah sempat tinggalkan seliparnya di sana biarpun mak melarang dia datang.
“Sekali lagi arwah mengulangi, dia tidak tahu sama ada dapat bersama abah lagi atau tidak pada tahun depan. Tetapi Tuhan lebih menyayanginya dan arwah terlebih dulu pergi meninggalkan kita semua,” katanya.
Kenang Inom lagi, arwah semasa hayatnya sentiasa berdoa semoga dipanjangkan umur supaya dapat berbakti kepada ibu bapa hingga akhir hayat mereka.
Arwah katanya, sentiasa mengutamakan kepentingan orang tuanya, malah dalam setiap karya dihasilkannya mereka menjadi orang pertama yang akan menilainya.
“Kalau mak tak suka sesuatu dan minta diubah, dia akan segera melakukannya. Dia terlalu menghormati mak. Ketika sibuk dan menghadiri mesyuarat penting, arwah tidak akan menjawab sebarang panggilan kecuali panggilan mak.
“Tidak kira dengan siapa pun dia bersama ketika itu, arwah akan menjawab panggilan mak kerana tidak mahu perlakuannya mengguris hati mak,” katanya.
Sebelum pemergiannya, Allahyarham sempat mendirikan kediaman enam bilik bersama surau terapung di tanah seluas satu ekar di Padang Mat Sirat, Langkawi.
Kediaman itu akan siap sepenuhnya Disember ini dan Inom turut merancang untuk membina sebuah sekolah bagi membolehkan anak kecil mendalami agama dan bahasa Inggeris di bawah Yayasan Yasmin.
“Kami juga bercadang untuk membina sebuah muzium kecil sebagai kenangan di situ. Semua itu sedang diusahakan dan mak akan memohon keizinan daripada pihak berkuasa untuk tujuan itu.
“Arwah seorang yang pemurah, tidak pernah lokek berkongsi rezeki kerana setiap apa yang diperolehnya itu adalah milik Allah. Wang baginya boleh dicari.
“Arwah selalu berpesan, jika mahu memberikan wang jangan sampai mak meminta nanti berdosa,” katanya tenang mengimbas setiap perlakuan anak kesayangannya itu.
Merajuk jika tak dapat gulai pedas
INOM berkata, arwah sangat menggemari gulai pedas dan akan merajuk serta duduk di pinggir jalan jika permintaannya itu tidak dipenuhi.
“Arwah terlalu manja dengan kami berdua. Mungkin kerana selepas tujuh tahun baru dikurniakan adiknya, Orked. Arwah terus tidur bersama kami sehingga usianya mencecah 14 tahun.
“Ketika arwah melanjutkan pelajaran di England, hubungan kami tetap rapat. Jika dia tidak dapat pulang, mak dengan abah yang akan ke sana. Mak dan abah sentiasa menerapkan nilai kasih sayang dengan anak-anak,” katanya.
Katanya lagi, setiap kali menjelang sesuatu festival yang akan disertai, arwah Yasmin pasti menghubunginya untuk memohon restu.
“Ketika itu mak akan berpuasa, bersembahyang hajat dan memohon doa untuknya. Sampai dia gelarkan mak, Miss Puasa. Doa seorang ibu yang memberi kejayaan kepadanya.
“Dia buat filem bukan untuk sesiapa, sebaliknya mahu menggembirakan hati mak dan abah. Andai ditanya rahsia kejayaannya, arwah pasti menyebut sentiasa menggembirakan hati ibu. Begitulah arwah yang sentiasa berpegang syurga di bawah telapak kaki ibu,” katanya.
Ahmad yang turut serta pada pertemuan itu berkata, Yasmin diberi kelebihan oleh Allah dengan akal yang bijak kerana cemerlang dalam pelajaran biarpun jarang mengulang kaji.
“Ibu bapa mana yang tidak risau. Tetapi arwah lulus dengan baik dan mendapat pangkat pertama dalam MCE hingga melanjutkan pelajaran dalam bidang Matematik,” katanya.
Lukanya masih berdarah
TATKALA pusara masih merah, kesedihan hati kehilangan insan tersayang masih dirasai, Inom sekeluarga diuji dengan sebuah laporan akhbar tabloid yang mengguris perasaan mereka.
Ketika pertemuan dibuat, Inom berulang kali meluahkan perasaan kesal dan kecewa kerana laporan itu mencalarkan maruah serta nama baik anak kesayangannya.
“Dosa mengaibkan orang lebih buruk daripada membunuh. Mak tidak tahu apa yang ada di dalam hati mereka ketika menulis laporan itu. Memang akhbar itu sudah memohon maaf, tetapi bukan akhbar itu yang bersalah. Sebaliknya mereka yang menulis laporan itu yang bersalah.
“Mak mahu mereka meminta maaf kerana ia ditulis tanpa terlebih dulu mencari kebenarannya,” katanya.
Inom memberitahu, kediamannya pernah didatangi pengurusan tertinggi akhbar tabloid itu yang memanjangkan permohonan maaf mereka atas apa yang berlaku.
Namun katanya, semua itu tidak mengubah apa-apa kerana sewajarnya permohonan maaf itu dibuat oleh penulis yang bertanggungjawab menulis laporan itu.
“Mak sudah merujuk perkara ini kepada peguam. Jika sekali pun mak mengambil tindakan undang-undang, ia dibuat bukan kerana wang.
“Sebaliknya mak mahu membersihkan nama arwah yang dicemari dengan penulisan tidak bertanggungjawab itu,” katanya.
CNP dr Berita Harian, 3/08/09
No comments:
Post a Comment